RAMADHAN DATANG LAGI...ADA KEMANISAN DI BULAN RAMADHAN..

ramadhan datang lagi..
syukur alhamdulilah kita dapat merasai lagi bulan ramadhan
dan juga dapat menambahkan lagi pahala..
ada kemanisan di sebalik bulan ramdhan ini..

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut bulan yang penuh kemuliaan, iaitu bulan Ramadhan. Begitu singkatnya masa berlalu, kedatangan bulan ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat islam kerana di dalamnya terselindung 1001 kemanisan iman yang hanya mampu dikecapi bagi mereka yang benar-benar menginginkannya.

Ramadhan merupakan bulan pembersih jiwa dari segala kekotoran dan kemaksiatan yang sedar atau tidak kita lakukan saban hari dan waktu. Sebagai insan yang lemah, kita tidak dapat tidak sering melakukan kesalahan baik dari lahiriah mahupun batiniah. Iman kita yang belum mencapai maqam tertinggi sentiasa naik dan turun ibarat harga saham di Wall Street. Ramadhan dianggap bonus bagi para pelabur untuk meningkat amalan mereka seterusnya mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat. 

Amalan pada bulan Ramadhan tidak seperti amalan pada bulan-bulan yang lain. Selain kewajipan berpuasa, satu daripada keistimewaan Ramadhan ialah solat terawih yang tidak diamalkan pada malam bulan-bulan yang lain. Dijanjikan Allah pada setiap malam tersebut untuk hamba-hambaNya yang beramal dengan solat sunat terawih dengan janji-janjiNya yang pasti sebagai balasan ketaatan kepadaNya. Pun begitu, setiap amalan tersebut walau dijanjikan dengan pelbagai ganjaran sekalipun hendaklah diikhlaskan kembali akan tujuan dan matlamatnya yakni untuk mencari keredhaan Allah. Ganjaran dan balasan kebaikan dari Rabbul Jalil hanyalah sebagai pembakar semangat dan pendorong ke arah perlaksaan ibadah yang lebih baik dan tulus kepadaNya.

Antara kelebihan bulan Ramadhan lagi ialah malam lailatul Qadr, iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 malam. Kelebihan pada malam ini ialah diangkat darjatnya oleh Allah dan dimuliakan oleh segenap makhluk di dunia ini. Tambahan lagi, Allah s.w.t. menghapuskan segala dosa-dosa yang telah lalu selain menambahkan pahala berganda-ganda terhadap amalan-amalan kebaikan yang dilakukan ikhlas kerana Allah.

Begitu banyak kebaikan dalam bulan Ramadhan sehingga tidak terhitung dengan ilmu matematik sekalipun akan kemuliaannya. Hatta kepada apa yang dinisbahkan di muka bumi ini, baik harta kekayaan, pangkat, kekuasaan, dan sebagainya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Justeru, mengapa mungkin kita lepaskan begitu sahaja impian setanggi syurga ini?

Puasa di bulan Ramadhan merupakan suatu amalan yang unik yang tidak diwajibkan ke atas bulan-bulan yang lain. Pengertian puasa ini memberi definisi yang cukup mendalam akan manhaj kesyumulan Islam yang mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Islam mendidik umatnya untuk mengenal erti kesusahan serta mengajar erti kesabaran yang tinggi dalam membawa sinar ketinggian agamaNya. Puasa memberi impak yang besar kepada jiwa dan rohani manusia untuk lebih melipatgandakan kekuatan berjihad melawan musuh-musuh dalam selimut, iaitu nafsu amarah. 

Sesungguhnya diri umat Islam itu terbelenggu oleh nafsu dan syaitan. Pun begitu, Ramadhan telah merantai musuh umat Islam itu dan kini hanya tinggal nafsu yang sememangnya wujud dalam diri manusia itu sendiri. Nafsu merupakan sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi bisa meruntuhkan iman seseorang sekiranya tidak dibendung dengan baik. Kekuatan semangat jihad seseorang dapat dilihat kepada kekuatannya melawan kehendak nafsu.

Sejarah telah membuktikan bahawa Ramadhan merupakan tonggak utama kepada kekuatan membentuk semangat jihad. Peristiwa perang Badar pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah jelas membuktikan keagungan dan kekuatan semangat jihad Islam itu sendiri. Kira-kira 314 orang Muslimin menentang 1000 orang tentera kafir Quraisy yang lengkap dengan kelengkapan persenjataan perperangan. Kemenangan besar yang dicapai oleh umat Islam pada ketika itu didorong oleh semagat jihad yang tinggi walaupun dalam keadaan berpuasa. Begitulah tingginya nilai puasa dalam membentuk iman yang teguh dan utuh dan tidak mudah rapuh walaupun diserang oleh musuh-musuh Allah.


Amat malang bagi kita jika terus mengganggap puasa sebagai suatu wasilah untuk menyambut hari raya Aidil fitri dengan membuat persediaan untuk membuat kuih raya, baju raya dan sebagainya. Bahkan tidak kurang juga yang menggap bahawa kelebihan puasa di bulan Ramadhan terletak pada bazar-bazar Ramadhan yang penuh dengan aneka juadah dan hidangan yang sukar diperolehi pada bulan-bulan yang lain. Lebih memburukkan, ada yang mula mengabaikan konsep puasa itu sendiri sehingga cenderung untuk mengikut nafsu amarah dan melakukan pembaziran.


Justeru, perlu bagi kita untuk kembali menghayati konsep puasa itu sendiri dalam membina kekuatan dalam diri kita. Penghayatan terhadap konsep puasa perlu difahami dengan mendalam meliputi keseluruhan aspek seperti kesihatan dan kerohanian. Saya menyeru kepada rakan-rakan untuk kembali bermuhasabah dan merenung kembali kekurangan diri kita dan meningkatkan amalan-amalan untuk mencari keredhaanNya. Hidup ini hanyalah sebagai persinggahan kita sementara. Sedang matlamat dan hala tuju kita mestilah kepada kebahagian di akhirat kelak. Kepada yang merokok, inilah masanya untuk kita berhenti daripada melakukan pengkhianatan kepada hukum Allah. Begitu juga kepada mereka yang memuja artis-artis barat dan AF serta mendongak termangu melihat Jaq Malaysian Idol di televisyen. Tiada gunanya kita mempunyai amalan yang baik atau ingin menegakkan hukum Allah sedang kita sendiri menghina hukumNya.


Sabda Rasulullah s.a.w: Barang siapa yang mengerjakan ibadat pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan ikhlasnya kerana Allah, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Penuhkan bulan yang penuh keredhaan ini dengan amalan-amalan sunat yang mengiringi amalan-amalan wajib seperti zikir munajat, membaca Al-Quran, beristighfar, beriktikaf di masjid, melakukan solat sunat rawatib dan sebagainya. Moga kita sama-sama mendapat kebaikan daripadaNYa. Dan semoga kita dapat melakukan ibadat di bulan Ramadhan ini dengan penuh kesempurnaan dan dipertemukan dengan Lailatul-Qadr.


No comments:

Post a Comment

sila lah menjadi pengOmen setia mish....!